
BATU PAHAT, 7 Oktober – Sebanyak 159 sekolah agama dan institusi pengajian Islam swasta di daerah Batu Pahat ditutup hari ini susulan keadaan jerebu yang mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 200 iaitu sangat tidak sihat, malam tadi.
- Penutupan dilaksanakan selaras Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan untuk mengutamakan keselamatan dan kesihatan murid serta warga sekolah.
- Sekolah diminta melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah apabila diarahkan Bahagian atau Pejabat Pendidikan Islam daerah.
- Keputusan pembukaan semula bergantung kepada kualiti udara semasa dan arahan rasmi pihak berkuasa.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, arahan penutupan dilaksana selaras Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) bagi mengutamakan keselamatan dan kesihatan warga sekolah termasuk murid.
“Penutupan itu membabitkan 106 Sekolah Agama Kerajaan Johor termasuk Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) serta 53 Institusi Pengajian Islam Swasta (IPIS) yang berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ),” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya lagi, pihak sekolah telah diminta melaksana sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya diarahkan Bahagian Pendidikan Islam JAINJ atau Pejabat Pendidikan Islam Daerah Batu Pahat.
Keputusan mengenai pembukaan semula sekolah dan institusi berkenaan bergantung kepada tahap kualiti udara semasa serta arahan rasmi pihak berkuasa.
“Semua pihak memberikan kerjasama bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan murid serta warga pendidik terus terpelihara sepanjang tempoh jerebu,” jelasnya.