
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Akmal Nasrullah Mohd Nasir (dua dari kanan)
KUALA LUMPUR, 7 Oktober — Malaysia komited melahirkan lebih ramai jurutera, saintis dan pereka cip berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri semikonduktor dan elektrik serta elektronik (E&E) pada masa akan datang.
- Pembangunan bakat mesti dimulakan sejak di bangku sekolah untuk sediakan pelajar dengan kemahiran praktikal dan relevan kepada industri.
- Industri semikonduktor dan E&E dijangka memerlukan sehingga 60,000 jurutera tambahan dalam tempoh RMK13.
- Ambil pendekatan model Singapura dan Jerman supaya pembelajaran di sekolah terhubung terus dengan keperluan industri, bukan tiru bulat-bulat.
- Projek Rintis Bakat STEM sasar lebih 100,000 pelajar dari 2026 hingga 2030 melalui empat program utama termasuk STEM, MathQuest dan AI on Wheels.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, impian itu dapat direalisasikan menerusi usaha pembangunan bakat yang perlu dimulakan sejak di bangku sekolah lagi.
Katanya, keperluan itu semakin penting berikutan industri semikonduktor dan E&E negara dijangka memerlukan sehingga 60,000 jurutera tambahan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Semikonduktor bukan sekadar tentang cip. Ia tentang bakat. Dan kita perlu mulakannya sejak di bangku sekolah
“Kalau ekosistem ini berjaya kita bina, pekerjaan bernilai tinggi dengan gaji yang lumayan akan datang kepada rakyat Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Menurut Akmal Nasrullah, Malaysia turut mengambil pendekatan daripada model pendidikan di Singapura dan Jerman yang menghubungkan pembelajaran dengan keperluan industri.
“Di Singapura, melalui Applied Learning Programme, sekolah bekerjasama dengan industri. Pelajar didedahkan sejak kecil kepada pembelajaran hands-on, macam robotik dan teknologi.
“Di Jerman, sistem Dual Vocational Training menggabungkan belajar di sekolah dengan latihan di tempat kerja sebenar.
“Prinsipnya sama, apa yang dipelajari mesti relevan dengan dunia sebenar. Kita tak mahu tiru bulat-bulat. Kita mahu bina model Malaysia sendiri, yang sesuai dengan industri dan sistem pendidikan kita,” tambahnya.
Katanya, Projek Rintis Bakat STEM yang diperkenalkan kementerian menyasarkan penyertaan lebih 100,000 pelajar dari 2026 hingga 2030.
Beliau berkata projek berkenaan merangkumi empat program utama.
Antaranya, pendidikan STEM dan MathQuest di peringkat sekolah rendah, manakala AI on Wheels serta Technical Skill Learning bagi pelajar sekolah menengah.