
KUALA LUMPUR, 7 Oktober — Masyarakat digalakkan mengamalkan budaya siap siaga sebagai penyelamat awal sebelum ketibaan pasukan agensi penyelamat, terutama ketika berlaku bencana.
- Kesiapsiagaan awal mampu menyelamatkan nyawa dan mengurangkan risiko kejadian tidak diingini.
- Komuniti di kawasan berisiko, seperti tebing sungai terdedah kepala air, perlu membuat persediaan dan berpindah lebih awal.
- Penglibatan aktif komuniti dan NGO penting membantu NADMA menyebarkan modul latihan, program kesedaran serta mendorong pendaftaran Rakan NADMA.
Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Perancangan dan Persediaan Bencana (Dasar), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Saiful Yazan Alwi berkata, kesiapsiagaan awal bukan sahaja mampu menyelamatkan nyawa, malah mengurangkan risiko kejadian yang tidak diingini.
Katanya, kesedaran awal amat penting terutama bagi komuniti di kawasan berisiko seperti tebing sungai yang terdedah kepada fenomena kepala air, bagi membolehkan penduduk membuat persediaan dan berpindah lebih awal.
“Sebabnya, bila berlaku bencana, sebelum pihak bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), polis atau pasukan bantuan sampai, penduduk kampung itulah sebenarnya barisan penyelamat pertama yang boleh menyelamatkan nyawa. Lagipun, keutamaan nombor satu kita dalam menyelamatkan nyawa manusia, ” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu rangcangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri Kota Media, hari ini.
Menurut Saiful Yazan, pengurusan bencana negara dilaksanakan pada tiga peringkat iaitu daerah, negeri dan negara, bergantung kepada skala sesuatu kejadian.
Justeru, katanya, penglibatan aktif komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) penting bagi membantu NADMA menyebarkan modul pembelajaran serta program kesedaran secara berterusan.
Dalam pada itu, beliau mengajak orang ramai hadir ke program Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) di Ipoh Convention Centre, Perak, pada 10 dan 11 Oktober ini.
Antara aktiviti yang disediakan ialah demonstrasi menyelamat mangsa dari bangunan tinggi oleh Pasukan SMART dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, simulasi bencana serta pendaftaran sebagai Rakan NADMA menerusi inisiatif Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti.