
KUALA LUMPUR, 7 Oktober — Belanjawan 2027 wajar beri tumpuan kepada geran padanan bagi sektor komoditi pertanian untuk memperkasa pengusaha tempatan, sekali gus memperluas pasaran produk makanan negara ke peringkat eksport.
- Kerajaan menanggung 50 peratus pembiayaan, baki 50 peratus ditanggung industri atau PKS sebagai model geran padanan.
- Pendekatan ini galakkan pengusaha hasilkan produk tanaman, ternakan dan perikanan secara berskala besar.
- Meningkatkan akses ke pasaran antarabangsa dan pendapatan perniagaan ketika ekonomi global tidak menentu.
- Memastikan keterjaminan makanan serta bekalan mencukupi dan mampu dimiliki oleh rakyat.
Ketua Laboratori Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Abdul Rahim Abdul Samad berkata, pendekatan itu dapat menggalakkan pengusaha menghasilkan produk daripada sektor tanaman, ternakan dan perikanan secara besar-besaran.
Beliau mencadangkan kerajaan menanggung 50 peratus pembiayaan, manakala baki 50 peratus ditanggung pihak industri atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Untuk Belanjawan 2027, kita harus melihat bukan hanya memberi bantuan 100 peratus, tetapi mungkin menukar pendekatan kepada geran padanan.
“Contohnya kerajaan menanggung 50 peratus dan industri sendiri menanggung 50 peratus pembiayaan itu. Dengan ini ada tanggungjawab daripada pihak PKS untuk sama-sama mencapai kejayaan,” katanya selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, hari ini.
Katanya, pendekatan itu bukan sahaja mampu memperluas akses produk tempatan ke pasaran antarabangsa, malah meningkatkan pendapatan perniagaan ketika ekonomi global berdepan ketidaktentuan susulan krisis di Asia Barat.
Pada masa sama, langkah berkenaan penting bagi memastikan keterjaminan makanan negara terus terpelihara serta menjamin bekalan makanan yang mencukupi dan mampu dimiliki rakyat.
Belanjawan 2027, yang akan dibentangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat ini pada pukul 3.30 petang di Dewan Rakyat.
Pembentangan itu adalah belanjawan kelima di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI yang dibentuk sejak 2022.