RUU perlindungan warga emas kini di fasa akhir

Datuk Seri Nancy / Foto BKK Parlimen Malaysia

KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kini berada dalam fasa akhir memuktamad Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan perlindungan warga emas.

RINGKASAN BERITA AI
  • RUU bertujuan memperkukuh kebajikan dan melindungi warga emas daripada pengabaian, penderaan dan eksploitasi.
  • Proses penggubalan melibatkan libat urus meluas dengan pemegang taruh dan sesi perbincangan berulang untuk mengambil cadangan baharu.
  • Perlindungan sedia ada termasuk Kanun Keseksaan, Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, Akta Orang Kurang Upaya 2008 dan Talian Kasih.
  • KPWKM menyalurkan Bantuan Warga Emas RM600 sebulan, menyokong PAWE, KBDR serta merangka Pelan Tindakan Warga Emas 2026 hingga 2030.

RUU itu bertujuan memperkukuh kebajikan serta melindungi golongan berkenaan daripada pengabaian, penderaan dan eksploitasi.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, proses penggubalan melibatkan libat urus dengan pelbagai pihak bagi memastikan RUU berkenaan benar-benar menepati keperluan semasa.

“Proses libat urus ini mengambil sedikit masa yang lebih panjang kerana kerajaan komited untuk meneliti pelbagai perkara dan cadangan baharu yang dikemukakan oleh para pemegang taruh.

“Pada masa yang sama, ada juga beberapa pemegang taruh yang terlibat dalam sesi libat urus yang dirujuk dan dirundingi lebih daripada satu sesi,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, perlindungan terhadap warga emas tetap diteruskan sementara menunggu RUU berkenaan dimuktamadkan.

Antara mekanisme sedia ada termasuk Kanun Keseksaan, Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, Akta Orang Kurang Upaya 2008 serta saluran intervensi menerusi Talian Kasih 15999.

Dari segi perlindungan sosial, KPWKM turut menyalurkan Bantuan Warga Emas (BWE) sebanyak RM600 sebulan kepada mereka yang layak.

Setakat tahun ini, sebanyak 234 Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) beroperasi dengan lebih 50,000 ahli, manakala Program Khidmat Bantu di Rumah (KBDR) membantu lebih 9,000 warga emas menerusi khidmat lebih 2,000 sukarelawan terlatih.

KPWKM turut membangunkan Pelan Tindakan Warga Emas Negara 2026–2030 serta Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Penjagaan Malaysia 2026–2030 sebagai sebahagian persediaan jangka panjang menghadapi perubahan demografi negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.