
KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Seramai 50,000 penjaga atau caregiver terlatih disasarkan menjelang 2030, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
- Fokus memperluas latihan penjaga; tahun ini 2,000 akan dilatih dan kini hampir 3,000 sudah menerima latihan.
- Kerajaan memperluas sokongan penjagaan di rumah melalui Program Khidmat Bantu di Rumah, membantu lebih 9,000 warga emas dengan sokongan lebih 2,000 sukarelawan terlatih.
- Inisiatif ini memperkukuh jaringan penjagaan komuniti, membantu keluarga urus keperluan harian ibu bapa yang semakin berusia.
Jelas beliau, usaha memperluas latihan penjaga menjadi antara tumpuan bagi memenuhi keperluan perkhidmatan berkenaan.
“Kami lebih menumpukan kepada latihan penjaga. Bagi tahun ini, ada 2,000 akan dilatih dan sekarang hampir 3,000 sudah dilatih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyatakan, kerajaan terus memperluas sokongan penjagaan di rumah menerusi Program Khidmat Bantu di Rumah (KBDR).
Program itu kini membantu lebih 9,000 warga emas dengan sokongan lebih 2,000 sukarelawan terlatih.
Inisiatif berkenaan menjadi sebahagian usaha memperkukuh jaringan penjagaan di peringkat komuniti, khususnya bagi keluarga yang memerlukan sokongan dalam mengurus keperluan harian ibu bapa yang semakin berusia.