Dapatan Op KL Strike Force dibawa ke Kabinet

Analisis turut mengambil kira trend semasa yang dikesan menerusi Operasi KL Strike Force

KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Data operasi bersepadu bagi menangani isu orang papa dan kanak-kanak di ibu negara, sedia dianalisa termasuk mengenal pasti individu yang berulang kali ditahan, sebelum dapatan dibentang ke Jemaah Menteri bagi merangka penyelesaian lebih menyeluruh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi bersepadu siri ketiga menangkap 86 orang papa, 57 warganegara dan 29 bukan warganegara.
  • Cabaran utama ialah kekurangan fasiliti khusus, keterbatasan tenaga kerja dan kuasa dalam mengurus masalah kesihatan mental serta tanpa dokumen.
  • Kes dirujuk kepada agensi berkaitan seperti JKM, DBKL, KKM, AADK dan Imigresen, disokong usaha akta baru bagi perkukuh intervensi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh memaklumkan, analisis itu turut mengambil kira trend semasa yang dikesan menerusi Operasi KL Strike Force, selain mendapatkan pandangan badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat secara langsung.

“Hasil penemuan itu, bakal dibentang kepada Jemaah Menteri untuk penyelesaian. Kita akan ada pasukan untuk kaji data dulu untuk tengok berapa ramai yang telah ditangkap berkali-kali,”katanya.

Operasi bersepadu siri ketiga tahun ini, mencatatkan 86 orang papa, terdiri daripada 57 warganegara dan 29 bukan warganegara, dengan kes dikenal pasti untuk tindakan susulan mengikut kategori masing-masing.

Beliau turut mengakui antara cabaran utama adalah kekurangan fasiliti khusus, keterbatasan tenaga kerja serta punca kuasa, terutama dalam mengurus individu dengan masalah kesihatan mental serta mereka yang tidak mempunyai dokumen.

“Kes bukan warganegara atau tanpa dokumen akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen, kes kesihatan mental kepada Kementerian Kesihatan (KKM), manakala kes berkaitan dadah dirujuk ke Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Sementara itu, bagi warga Malaysia yang tidak mempunyai tempat tinggal pula akan dibantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),”jelasnya.

Beliau turut menyatakan pihaknya menyokong usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat membangunkan akta baharu bagi memperkukuh punca kuasa JKM, selain menilai keperluan fasiliti dan mekanisme intervensi yang lebih tersusun.

“Langkah berkenaan penting bagi memastikan operasi tidak sekadar menjadi tindakan berulang, sebaliknya menangani punca masalah dan mengurangkan risiko individu kembali ke jalanan, khususnya di kawasan tumpuan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026,”katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.