Rampasan dadah : Warga Malaysia antara 13 ditahan di Laos

Foto pihak berkuasa Laos

KUALA LUMPUR, 6 Oktober – Seorang warganegara Malaysia antara 13 individu yang ditahan pihak berkuasa Laos susulan rampasan 521 kilogram dadah jenis methamphetamine kristal di sebuah jet peribadi, minggu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pesawat Learjet berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang menuju ke Laos.
  • Pesawat diterbangkan oleh juruterbang dan pembantu juruterbang yang bukan warganegara Malaysia.
  • Pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang menemui 23 bagasi, 21 daripadanya mengandungi dadah.
  • Tahanan termasuk juruterbang, pembantu juruterbang, seorang pelancong asing, tiga pekerja syarikat swasta dan tujuh kakitangan lapangan terbang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan awal mendapati pesawat Learjet itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, menuju ke Laos.

Bagaimanapun, katanya, pesawat berkenaan diterbangkan juruterbang dan pembantu juruterbang yang bukan warganegara Malaysia, manakala warganegara Malaysia yang ditahan tidak menaiki penerbangan itu.

Menurut laporan media Laos, pemeriksaan terhadap pesawat bernombor pendaftaran N73GP di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang menemukan 23 bagasi, dengan 21 daripadanya mengandungi dadah seberat 521 kilogram.

Kesemua 13 individu ditahan bagi membantu siasatan, termasuk juruterbang, pembantu juruterbang, seorang pelancong asing, tiga pekerja syarikat swasta dan tujuh kakitangan lapangan terbang.

Datuk Hussein berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu maklumat lanjut daripada pihak berkuasa Laos.

Mengenai kemungkinan kaitan kes itu dengan penahanan seorang juruterbang Malaysia di Indonesia sebelum ini, beliau berkata perkara itu masih dalam siasatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.