
TUMPAT, 7 Oktober – Polis sedang mengesan individu dalam satu video tular yang memaparkan seorang lelaki menendang penunggang motosikal di kawasan Pantai Sri Tujuh, di sini.
- Polis menerima laporan mengenai video tular melalui laman Facebook 'Info Tumpat Loni'.
- Siasatan dijalankan untuk mengenal pasti individu terlibat dan mendapatkan gambaran sebenar kejadian.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
- Mangsa, saksi atau pemilik rakaman dashcam diminta hubungi Inspektor Muhamad Zulazri di 011-11486922 atau hadir ke balai.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, pihaknya menerima laporan berhubung video yang tular menerusi laman Facebook ‘Info Tumpat Loni’ itu, semalam.
“Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terlibat serta mendapatkan gambaran sebenar kejadian.
“Setakat kenyataan ini dikeluarkan, penunggang motosikal terbabit belum membuat laporan polis,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Mangsa dan orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai rakaman asal kamera papan pemuka (dashcam) diminta tampil membantu siasatan.
Maklumat boleh disalur kepada pegawai penyiasat, Inspektor Muhamad Zulazri Mohammad menerusi talian 011-11486922 atau hadir ke balai polis berhampiran.
“Orang ramai dinasihat supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan kerana siasatan dijalankan bagi mengenal pasti keadaan sebenar,” jelasnya lagi.