Lelaki maut kenderaan terjunam ke gaung

Foto JBPM

GUA MUSANG, 7 Oktober – Seorang lelaki maut selepas pacuan empat roda dipandunya dipercayai terbabas dan terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 100 meter di Jalan Ladang Pos Pulat, di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mayat mangsa ditemukan dua hari selepas insiden.
  • Isteri mengesan lokasi terakhir melalui fungsi 'live location'; rakan sekerja menemui kenderaan mangsa di bawah cerun.
  • Mangsa ditemui tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di lokasi; mayat dibawa naik dan dihantar untuk bedah siasat.
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987; orang ramai diminta hubungi Inspektor Aida di 09-912 1222.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, mayat mangsa ditemukan semalam, dua hari selepas insiden berkenaan.

Berdasarkan maklumat isteri mangsa, lokasi terakhir mangsa dikesan menerusi fungsi ‘live location’ pada petang Ahad di sekitar kawasan kejadian.

Rakan sekerja mangsa kemudian pergi ke lokasi berkenaan untuk melakukan pencarian sebelum menemukan kenderaan milik mangsa di bawah cerun.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sedang memandu kenderaannya sebelum terbabas ke dalam gaung berkenaan ketika menuruni bukit.

“Tiada individu dipercayai menyaksikan kemalangan itu menyebabkan kejadian tidak disedari orang awam sehingga mangsa ditemukan oleh rakan sekerjanya,” jelasnya dalam kenyataan.

Mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mayat mangsa dibawa naik dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Aida di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Gua Musang menerusi talian 09-912 1222.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.