Reformasi cukai tangani kemerosotan nisbah kepada KDNK

Belanjawan 2027 wajar menjadikan sistem percukaian lebih menyokong pelaburan

KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Malaysia perlu melaksanakan reformasi cukai bagi menangani kemerosotan struktur nisbah hasil cukai kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kini susut kepada 12.7 peratus berbanding 15 peratus, yang dicatatkan 15 tahun lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Reformasi cukai perlu dilaksanakan untuk meningkatkan hasil, bukan hanya bergantung pada kawalan defisit fiskal.
  • Hutang Persekutuan meningkat melebihi 65 peratus KDNK; langkah tambahan diperlukan untuk mencapai sasaran 60 peratus menjelang 2028.
  • Belanjawan 2027 wajar menjadikan sistem percukaian menyokong pelaburan, termasuk insentif sehingga 100 peratus kos pelaburan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Apurva Sanghi berpendapat, walaupun defisit fiskal berjaya dikawal, hutang kerajaan Persekutuan terus meningkat dan kini mencecah 65.2 peratus daripada KDNK.

“Jika kita lihat hutang kerajaan Persekutuan meningkat kepada lebih 65 peratus daripada KDNK, walaupun defisit fiskal berjaya dikawal dan syabas kepada kerajaan atas usaha tersebut.

“Namun, langkah itu sahaja tidak mencukupi untuk mengurangkan nisbah hutang kepada KDNK dan mencapai sasaran 60 peratus menjelang 2028 seperti yang ditetapkan di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA),” katanya pada taklimat media Laporan Kemas Kini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik bagi Oktober 2026, pada Selasa.

Laporan Ketua Audit Negara 2/2026 yang dibentangkan sebelum ini melaporkan hutang kerajaan Persekutuan meningkat kepada RM1.32 trilion pada 2025 berbanding RM1.24 trilion pada tahun sebelumnya, manakala hutang statutori berjumlah RM1.295 trilion.

Apurva berkata, walaupun peningkatan kadar cukai mungkin sukar dilaksana, terdapat pendekatan lain yang boleh dipertimbangkan bagi meningkatkan hasil.

Dalam pada itu, beliau berkata, Belanjawan 2027 juga wajar menjadikan sistem percukaian lebih menyokong pelaburan bagi menggalakkan aktiviti ekonomi.

“Antara pendekatan yang boleh dipertimbangkan termasuk membenarkan pelaburan yang memenuhi syarat menikmati insentif sehingga 100 peratus daripada kos pelaburan,”katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.