
GEORGE TOWN, 19 April – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meluluskan peruntukan berjumlah RM50,000 menerusi Geran Padanan Sukan bagi menyokong penganjuran kejohanan judo yang lebih kompetitif dalam usaha menggilap bakat muda negara ke peringkat dunia.
- Inisiatif bertujuan menyuntik semangat atlet muda dan memanfaatkan potensi industri judo bernilai sehingga RM49.5 bilion.
- Kejohanan berkembang sejak 2018 dari pertandingan kelab kepada platform antarabangsa.
- Kejohanan menarik 720 atlet dari hampir 12 negara, bukti minat mendalam terhadap sukan tempur.
- Kementerian akan terus meneliti pembangunan sukan judo untuk sumbangan signifikan kepada ekonomi sukan negara.
Timbalan Menterinya, Mordi Bimol berkata, inisiatif tersebut bertujuan menyuntik semangat atlet muda untuk menonjolkan kemampuan mereka, selain melihat potensi besar industri sukan judo yang mampu menjana pendapatan sehingga RM49.5 bilion kepada negara.
Beliau memuji inisiatif penganjuran Kejohanan Judo Jemputan Pulau Pinang 2026 yang menyaksikan perkembangan luar biasa sejak ia dimulakan lapan tahun lalu.
“Amat menggalakkan untuk melihat bagaimana kejohanan ini berkembang di Pulau Pinang sejak ia bermula pada 2018.
“Apa yang bermula sebagai pertandingan kecil berasaskan kelab kini telah berevolusi menjadi platform antarabangsa yang menyatukan bakat, disiplin dan semangat setiakawan dari seluruh rantau ini, yang merupakan satu pencapaian luar biasa.
“Kehadiran peserta yang ramai ini adalah bukti minat mendalam penduduk Pulau Pinang terhadap sukan tempur,” katanya pada majlis penutupan kejohanan tersebut di sini, hari ini.
Kejohanan yang berlangsung di sebuah pusat beli-belah di Air Itam itu menyaksikan penglibatan seramai 720 atlet judo dari hampir 12 buah negara di seluruh dunia.
Mordi menambah, pihak kementerian akan terus meneliti pembangunan industri sukan ini bagi memastikan ia dapat menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi sukan nasional.
Kejohanan tersebut dianjurkan oleh Persatuan Judo Pulau Pinang dengan kerjasama Persekutuan Judo Antarabangsa.