PROTON tembusi pasaran Caribbean, lancar SUV baharu di Trinidad & Tobago

Trinidad & Tobago merupakan pasaran penting bagi PROTON di rantau Caribbean dan memainkan peranan utama dalam strategi eksport PROTON, menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya Edmund Lim Meng Thong.

KUALA LUMPUR, 19 April – PROTON Holdings Berhad melancarkan model SUV segmen-B, Proton X50 di Trinidad & Tobago bagi memperkukuh kehadirannya di peringkat antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • PROTON X50 tampil dengan reka bentuk dipertingkat, infotainmen lebih baik, ADAS dan kamera 360 darjah.
  • Trinidad & Tobago dianggap pasaran strategik yang menyokong pertumbuhan eksport PROTON di rantau Caribbean.
  • PICSB komited kembangkan jejak eksport menjelang 2026 melalui pengenalan model baharu dan pengukuhan rangkaian pengedaran.
  • Strategi merangkumi model ICE dan EV untuk memperluas capaian produk serta nilai jenama PROTON; jualan eksport 6,000 unit pada 2025.

Model itu hadir dengan penambahbaikan dari segi reka bentuk dan sistem infotainmen, selain dilengkapi ciri keselamatan seperti sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) dan kamera 360 darjah.

Menerusi kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif Proton International Corporation Sdn Bhd, Edmund Lim Meng Thong berkata Trinidad & Tobago merupakan pasaran strategik yang menyokong pertumbuhan eksport syarikat di rantau Caribbean.

“Pelancaran model kereta tersebut bagi mengukuhkan komitmen syarikat pengeluar kereta ini dalam menawarkan kenderaan berkualiti tinggi dan berdaya saing dan memacu momentum perniagaannya ke pasaran global,” katanya.

“Trinidad & Tobago merupakan pasaran penting bagi PROTON di rantau Caribbean dan memainkan peranan utama dalam strategi eksport kami secara keseluruhan. Pengenalan All-New PROTON X50 di sana mencerminkan keyakinan kami terhadap potensi pertumbuhan pasaran tersebut serta kekuatan kerjasama bersama rakan pengedar tempatan.

“Menjelang 2026, Proton International Corporation Sdn Bhd (PICSB) komited untuk terus memperluaskan jejak eksport menerusi pengenalan model baharu, pengukuhan rangkaian pengedaran dan peningkatan jumlah eksport keseluruhan merentasi pelbagai rantau.

“Usaha ini merangkumi model enjin pembakaran dalaman (ICE) dan EV PROTON ketika kami berusaha membawa produk serta nilai jenama PROTON kepada lebih ramai pelanggan di seluruh dunia,” tambah beliau.

Jualan eksport PROTON mencecah 6,000 unit pada 2025, tertinggi sejak kerjasama dengan Geely, dan syarikat komited memperluas jejak global menerusi pengenalan model baharu menjelang 2026.