
KUALA LUMPUR, 19 April – Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menyokong usaha kerajaan mempertingkat sistem pengambilan pekerja asing melalui pendigitalan dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi mewujudkan proses yang lebih cekap, telus dan lancar.
- FMM sokong usaha kerajaan pendigitalan dan penggunaan AI untuk mewujudkan proses pengambilan pekerja asing yang lebih cekap dan terurus.
- Pendekatan bersepadu dan integrasi data boleh meningkatkan perancangan tenaga kerja serta menyokong automasi dan peningkatan produktiviti negara.
- Penambahbaikan perlu berasaskan platform sedia ada untuk memastikan penyelarasan antara kementerian dan agensi berkaitan.
- Prinsip ketelusan, pengurangan kebergantungan kepada orang tengah dan struktur kos adil mesti dikekalkan bagi integriti sistem.
Presidennya, Jacob Lee Chor Kok berkata, langkah itu selari dengan keperluan industri yang memerlukan penyelesaian tenaga kerja lebih pantas dan berasaskan permintaan.
Menurut beliau, penggunaan AI mampu mengurangkan beban pentadbiran, memperbaiki padanan pekerjaan serta melancarkan keseluruhan proses pengambilan daripada peringkat sumber hingga penempatan.
“Pendigitalan yang lebih meluas serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) berpotensi mengurangkan beban pentadbiran, meningkatkan padanan pekerjaan, dan menangani ketidakcekapan dalam proses pengambilan pekerja.
“Lebih penting, pendekatan itu mampu mengurangkan kerenah serta melancarkan keseluruhan rantaian bekalan tenaga kerja, bermula daripada proses pencarian dan pemilihan calon, sehinggalah kepada kelulusan dan penempatan pekerja,” katanya menerusi satu kenyataan.
Tambah beliau, FMM turut menekankan kepentingan sistem yang lebih bersepadu, dengan penambahbaikan dibuat berasaskan platform sedia ada bagi memastikan penyelarasan antara kementerian dan agensi berkaitan.
Pada masa sama, prinsip ketelusan, pengurangan kebergantungan kepada orang tengah serta struktur kos yang adil perlu dikekalkan bagi meningkatkan integriti sistem.
FMM berpandangan pendekatan bersepadu yang disokong integrasi data mampu meningkatkan kecekapan dan perancangan tenaga kerja industri, sekali gus menyokong usaha automasi dan peningkatan produktiviti negara.
“Malaysia telah pun mempunyai sistem serta proses yang sedia mantap, dan sebarang penambahbaikan perlu dibangunkan berasaskan asas tersebut bagi mewujudkan ekosistem menyeluruh yang lebih bersepadu dan terselaras untuk majikan.
“Sebarang penambahbaikan sistem perlu terus mengekalkan prinsip ketelusan, mengurangkan kebergantungan terhadap orang tengah, serta memastikan struktur kos yang adil bagi kedua-dua pihak, iaitu majikan dan pekerja,” katanya.