fb fb fb fb fb

Bekas menteri dipanggil SPRM disyaki terima rasuah RM5 juta

Foto hiasan

PUTRAJAYA, 28 Disember -Seorang bekas menteri dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah melibatkan wang tunai kira-kira RM5 juta serta sebuah kereta mewah.

Menurut sumber, siasatan itu berkait projek papan iklan dan pemindahan tanah di ibu negara.

Beliau memaklumkan, bekas menteri berkenaan dipercayai menerima wang daripada sebuah syarikat pemaju.

Manakala sebuah kereta mewah didakwa diterima daripada sebuah syarikat pembuat papan iklan.

“Bekas menteri berkenaan hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini bagi dirakam keterangan. Siasatan kini memfokuskan kepada punca pembayaran wang serta pemilikan kereta mewah tersebut.

Bagi kes melibatkan tanah, siasatan awal mendapati beberapa bidang tanah yang sebelum ini digazetkan bagi pembinaan surau dipercayai telah dipindah milik kepada sebuah syarikat proksi,” kata sumber itu.

Menurut sumber sama, seramai 16 saksi terdiri daripada kakitangan kerajaan dan pemilik syarikat telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan terhadap kedua-dua kes berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka berhubung kes terbabit.

“SPRM telah membuka satu kertas siasatan bawah Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan siasatan masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN