MPM sedia ‘lamar’ Ridzuan Puzi, beri peranan baharu selepas bersara

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shariman Zaharudin/BERNAMA

SUBANG, 7 April– Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berhasrat untuk menawarkan peranan baharu kepada pemenang pingat emas pertama Sukan Paralimpik Rio 2016, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam struktur pentadbiran organisasi tersebut, susulan pengumuman persaraannya, Jumaat lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ridzuan memiliki pengalaman luas, mampu memberi nilai tambah dan menjadi sumber inspirasi kepada atlet para negara.
  • Presiden menyatakan mungkin suatu hari Ridzuan dilantik Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan.
  • Beliau ditemui media sempena penganjuran Bengkel Klasifikasi Para SUKMA 2026 di Subang.
  • Bengkel menghimpunkan pegawai klasifikasi, MSN, ISN, SUKMA dan MPM; mensasarkan sifar isu klasifikasi SUKMA 2026.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shariman Zaharudin berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat MPM bulan depan, termasuk melantik Dek Wan sebagai duta serta perincian peranannya dalam organisasi.

Jelas Datuk Seri Megat, Mohamad Ridzuan atau dikenali sebagai Dek Wan mempunyai pengalaman luas yang mampu memberi nilai tambah dalam pembangunan sukan para selain menjadi sumber inspirasi untuk atlet para negara yang lain.

“Saya berhasrat untuk melamar beliau ke dalam MPM, mungkin sebagai duta yang memainkan peranan penting dalam ekosistem sukan kita. Perkara ini akan diputuskan dalam mesyuarat bulan depan sebelum dimaklumkan secara rasmi kepada Ridzuan.”

“Kita mahu jasa dia tidak berhenti di situ. Mungkin satu hari nanti dia boleh jadi Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB). Kita belum tahu. Saya percaya dia lebih faham,” ujar beliau.

Beliau ditemui media sempena penganjuran Bengkel Klasifikasi Para SUKMA 2026 di sini, hari ini.

Bengkel tersebut menghimpunkan 13 ketua klasifier, 14 pegawai Majlis Sukan Negeri bagi sukan para, pegawai Majlis Sukan Negara (MSN), pegawai Institut Sukan Negara (ISN), wakil sekretariat Sukan Malaysia (SUKMA) dan wakil MPM.

Usaha itu bertujuan menyelaras dan memperkukuhkan sistem klasifikasi atlet para negara kepada pegawai sukan sekali gus menyasarkan sifar isu klasifikasi dalam temasya SUKMA 2026 termasuk sukan-sukan lain di peringkat antarabangsa.