Pemandu 4×4 maut nahas di Jambatan Lutong

FOTO IPD MIRI

MIRI, 7 April – Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jambatan Lutong, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siasatan awal: lori muatan tar berhenti di jambatan, pacuan empat roda dipercayai datang dari belakang dan melanggar bahagian belakang lori.
  • Mangsa, pemandu pacuan empat roda, disahkan meninggal dunia di lokasi; pemandu lori tidak mengalami kecederaan.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987; orang ramai diminta hubungi Insp Nor Afifah 019-5264640 atau 085-430479.

Ketua Polis Daerah Miri, Penolong Pesuruhjaya Polis ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira pukul 12.01 tengah malam.

Menurut siasatan awal, kemalangan melibatkan sebuah lori membawa muatan tar yang dipandu lelaki tempatan berusia 53 tahun yang berhenti di atas jambatan berkenaan.

“Sebaik tiba di lokasi, pacuan empat roda yang dipandu mangsa, lelaki tempatan berusia 38 tahun, dipercayai datang dari arah belakang sebelum melanggar bahagian belakang lori tersebut,” katanya.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Insp Nor Afifah Nordin di talian 019-5264640 atau 085-430479, atau mana-mana balai polis berhampiran.

Dalam pada itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa memandu secara berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.