Pergaduhan tiada kaitan dengan perkauman

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisham Nordin/Foto BERNAMA 

IPOH, 7 April – Pergaduhan antara kumpulan dipercayai menjadi punca kematian seorang lelaki yang ditetak dalam kejadian di sini, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis Perak sahkan kejadian tiada unsur perkauman, berpunca daripada konflik antara kumpulan.
  • Seorang suspek ditahan direman tujuh hari untuk membantu siasatan.
  • Mangsa berusia 25 tahun maut ditetak; dua rakan cedera dirawat di HRPB.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 302, Seksyen 326 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin mengesahkan insiden itu tidak melibatkan unsur perkauman, sebaliknya berpunca daripada konflik antara kumpulan.

Menurutnya setakat ini seorang suspek telah ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati ia berpunca daripada pergaduhan kumpulan dan tiada kaitan dengan perkauman, namun ia masih dalam siasatan,” katanya.

Beliau sebelum itu menghadiri Majlis Penutupan Seminar Pemerkasaan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) Kontinjen Perak Bil.1/2026 di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Meru, di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 11.10 malam, seorang lelaki berusia 25 tahun maut dipercayai ditetak dalam satu kejadian pergaduhan di Buntong.

Mangsa ditemukan terbaring di tengah jalan dengan kecederaan parah selepas diserang sekumpulan suspek bersenjatakan parang.

Dalam kejadian sama, dua rakan mangsa turut cedera dan masih menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302, Seksyen 326 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.