fb fb fb fb fb

Lelaki mengamuk cederakan bekas isteri, anak di Gombak

Tangkap layar video tular memaparkan seorang lelaki bertindak agresif mencederakan bekas isteri dan anak kandungnya

GOMBAK, 29 Disember -Seorang lelaki tempatan disyaki mencederakan bekas isteri dan anak kandungnya dalam kejadian di Taman Scientex Kundang Jaya, Kundang, malam semalam.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada pukul 10.33 pagi tadi.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 11.47 malam ketika suspek menghantar anak kepada pengadu.

Insiden dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan isu nafkah antara kedua-dua pihak.

Dalam kejadian itu, suspek disyaki bertindak agresif terhadap bekas isterinya dan turut menolak anak perempuan mereka berusia tujuh tahun sehingga terjatuh dan mengalami kecederaan di bahagian lutut.

Susulan laporan diterima, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.

Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Muhammad Amirul Mohd Sharit di talian 016-674 0989 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di 03-6126 2222.

Polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN