fb fb fb fb fb

Indonesia gagalkan cubaan seludup migran ke Malaysia

Gambar hiasan

JAKARTA, 10 Mei - Tentera Laut Indonesia (TNI AL) berjaya memintas sebuah bot laju yang membawa 19 pekerja migran tanpa dokumen dan dua individu disyaki sebagai penyeludup manusia di perairan wilayah Riau. 

Bot itu, yang dilengkapi tiga enjin sangkut, dikesan di Selat Morong berhampiran Pulau Rupat pada 8 Mei ketika cuba memasuki perairan Malaysia secara haram.

Menurut Pejabat Penerangan Umum Tentera Laut (Dispenal), bot berkenaan enggan mematuhi arahan amaran, menyebabkan anggota TNI AL terpaksa melepaskan tembakan ke arah enjin untuk menghentikan bot itu.

“Kesemua 19 penumpang merupakan warganegara Indonesia dari pelbagai wilayah termasuk Riau, Aceh, Lampung, Jawa Timur dan Sumatera Utara,” menurut kenyataan pada Sabtu.

Dispenal memaklumkan kebanyakan migran berkenaan memiliki pasport yang telah tamat tempoh atau disenaraihitamkan daripada perjalanan antarabangsa dan cuba berhijrah tanpa dokumen yang sah.

Mereka dipercayai bertolak dari sebuah lokasi penempatan sementara di Kampung Teluk Lecah yang dikendalikan oleh seorang individu dikenali sebagai “JP”.

Dua kru bot, masing-masing dikenali dengan inisial “K” dan “J”, memberitahu penyiasat bahawa mereka dibayar 3.5 juta rupiah (kira-kira US$220) bagi setiap penumpang untuk menghantar migran ke Malaysia.

“Kedua-dua suspek akan diserahkan kepada pihak polis Riau untuk siasatan lanjut mengikut kesalahan pemerdagangan manusia. Para migran pula akan diproses oleh Pos Perlindungan Pekerja Migran Indonesia (P4MI) di Dumai,” menurut Dispenal lagi.

Operasi itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan TNI AL untuk memperketat kawalan keselamatan maritim, mencegah penyeludupan rentas sempadan dan meningkatkan kesiapsiagaan terhadap jenayah di perairan negara.-BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN