MIRI, 10 Mei – Seramai 40 warga asing ditahan dalam Op Gegar di sebuah pusat hiburan di sini malam tadi, atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk tiada dokumen perjalanan sah dan tinggal melebihi tempoh.
Operasi yang dijalankan sekitar pukul 10 malam itu melibatkan 29 anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak dan empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Cawangan Khas.
“Seramai 50 individu telah diperiksa dalam serbuan ini. Ini termasuk 33 wanita warga China, Vietnam dan Filipina serta tujuh lelaki warga Indonesia ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.
Tambah kenyataan itu, antara kesalahan dikenal pasti termasuk menyalahgunakan pas lawatan sosial dan gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
Pusat hiburan berkenaan turut disyaki menyediakan khidmat wanita warga asing kepada pelanggan sebagai sebahagian daripada aktiviti hiburan mereka.
“Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Depot Imigresen Bekenu untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.