KUALA TERENGGANU, 10 Mei- Seorang doktor lelaki kerugian kira-kira RM50,000 selepas kediamannya di sebuah kondominium dekat sini dipecah masuk dalam kejadian awal pagi semalam.
Mangsa yang berusia 43 tahun menyedari kejadian itu kira-kira pukul 6.30 pagi ketika baru bangun dari tidur.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Azli Mohd Noor berkata, mangsa mendapati beberapa barangan peribadi seperti jam tangan, kunci rumah, kunci kereta dan sebuah iPad yang diletakkan di atas meja makan hilang.
Malah, kereta milik mangsa turut dilarikan suspek.
“Mangsa kemudian memeriksa lokasi kenderaan mewah miliknya melalui aplikasi telefon pintar dan mendapati kereta tersebut berada di kawasan flat di bandar ini, sebelum membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan anggota polis melakukan serbuan di sebuah rumah pekerja di Kampung Kuala Tengah, Marang pada pukul 3.15 pagi tadi dan menahan seorang lelaki berusia 27 tahun.
Hasil pemeriksaan menemui 21 barangan disyaki hasil kegiatan pecah rumah, termasuk beg tangan berjenama mewah, kad akses kondominium, jam tangan dan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
Siasatan awal mendapati suspek bekerja di sebuah kedai ayam dan turut menjalankan kerja pembersihan sambilan di kondominium berkenaan.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” kata ACP Azli.
Suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.