fb fb fb fb fb

Peniaga kosmetik didakwa edar dadah dihadapkan ke mahkamah

Tertuduh, Abdul Rahman Mohamad Hussain, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.

KUALA TERENGGANU, 11 Mei - Seorang peniaga kosmetik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1.015 kilogram penghujung April lalu.

Tertuduh, Abdul Rahman Mohamad Hussain, 36 tahun, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengedar dadah berbahaya di sebuah premis perniagaan di Pusat Niaga Paya Keladi, Kuala Terengganu pada pukul 8.40 malam, 28 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 15 sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ely Nazihah Ahmad Yunus, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 21 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE