SEREMBAN, 9 Mei- Lima individu mengaku bersalah, manakala dua lagi tidak mengaku salah atas pertuduhan menggunakan kad pengenalan palsu dan memiliki salinan kad pengenalan milik orang lain.
Lima warga Filipina membuat pengakuan itu di Mahkamah Majistret Seremban selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli dan Saiful Sayuti.
Tertuduh yang mengaku bersalah, Johari Camal, 38 tahun; Piter Camal, 45 tahun; Ajid Hasan, 43 tahun; dijatuhi hukuman penjara lima bulan manakala Aisa HamJalin Katang, 40 tahun dan Rasid Olek, 27 tahun dijatuhi hukuman penjara dua bulan.
Peguam Sarabmeet Singh yang mewakili Alvin Faisal, 31 tahun dan Alsaida Hassan, 28 tahun pula, memohon tertuduh dikenakan jaminan rendah berikutan berasal dari Sabah.
Bagaimanapun mahkamah membenarkan jaminan RM6,000 dengan dua penjamin warganegara terhadap Alvin Faisal, manakala Alsaida tidak dibenarkan jaminan.
Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, kesemua tertuduh didakwa menggunakan kad pengenalan dan memiliki kad pengenalan milik orang lain sebagai pengenalan diri sendiri.
Kesalahan itu dilakukan di Nilai pada 6 Mei lepas antara pukul 7.00 malam hingga 8.30 malam.
Berikutan itu tertuduh didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 25(1)(c) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990(Pindaan 2007) dan boleh dihukum di bawah peraturan sama.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.