fb fb fb fb fb

Doktor gigi rugi RM300,440 diperdaya tawaran kerja tidak wujud

Doktor gigi rugi RM300,440 diperdaya tawaran kerja tidak wujud.

GEORGETOWN, 8 Mei- Seorang doktor gigi berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM300,440 lesap dipercayai ditipu sindiket tawaran kerja tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad, berkata mangsa berusia 72 tahun itu membuat laporan polis pada 26 April lalu selepas menyedari diperdaya sindiket berkenaan.

Katanya, mangsa mendakwa menerima pesanan mesej di aplikasi WhatsApp daripada nombor tidak dikenali Februari lalu menawarkan peluang pekerjaan secara dalam talian menerusi aplikasi 'Jem Abundance Store (JBS)'.

"Tawaran itu menjanjikan keuntungan sebanyak 15 peratus menyebabkan mangsa tertarik menyertainya.

"Mangsa yang bersetuju dengan tawaran pekerjaan itu diminta supaya memindahkan wang bagi menampung kos harga barangan tempahan pelanggan. Mangsa diminta bagi mendaftar akaun perniagaan menerusi aplikasi itu yang diberi oleh suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Rozak berkata, antara 10 Mac hingga 17 April lalu, mangsa sudah memindahkan wang RM300,440 daripada akaun peribadinya kepada 11 akaun bank berbeza membabitkan 17 transaksi pemindahan.

"Mangsa mendapati tiada sebarang keuntungan diterima daripada pekerjaan itu, malah suspek masih memintanya membuat bayaran tambahan.

"Mangsa tidak buat bayaran yang diminta kerana mengesyaki dirinya ditipu, sebelum tampil ke balai polis bagi membuat laporan. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

MOHAN CHINNASAMY