fb fb fb fb fb

Pelanggan warga emas cedera dirempuh kereta MPV

Sebuah MPV berwarna perak yang telah terbabas dan melanggar premis terbabit malam tadi/Foto Bomba

LUMUT, 9 Mei – Seorang wanita warga emas cedera selepas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) merempuh masuk ke dalam restoran makanan segera di Jalan Haji Mohd Ali, dekat Sitiawan di sini malam tadi.

Mangsa berusia lingkungan 70-an yang juga pelanggan restoran makanan terbabit tersepit di bawah kenderaan yang merempuhnya.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.09 malam, dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung tiba di lokasi 11 minit kemudian.

“Kemalangan melibatkan sebuah MPV berwarna perak yang telah terbabas dan melanggar premis terbabit, menyebabkan seorang pelanggan wanita berusia lingkungan 70-an tersepit di bawah kenderaan.

“Orang awam berjaya mengeluarkan mangsa sebelum pasukan bomba tiba. Ketua operasi kemudiannya melaksanakan penilaian awal (size-up) dan mangsa yang cedera telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 9.30 malam dan ditamatkan pada pukul 9.49 malam.

Seramai sembilan anggota bersama dua jentera terlibat dalam operasi yang diketuai oleh PBK II (TBK) Lutfe Abdul Rahman.

"Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN