KUALA TERENGGANU, 21 Februari-Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Maritim Terengganu berjaya menggagalkan cubaan menceroboh serta mencuri oleh tujuh lelaki warga Indonesia di sebuah pelantar minyak tidak berpenghuni, di lapangan Tembikai itu di kedudukan 77 Batu Nautika Timur Kuala Terengganu.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abdul Majib berkata pihaknya menerima maklumat daripada syarikat cari gali minyak tempatan selaku pemilik pelantar tersebut berkaitan pencerobohan itu pada 1.30 tengah hari Rabu lepas.
Hasil pemeriksaan membawa kepada tangkapan suspek yang berusia lingkungan 25 hingga 45 tahun yang bersembunyi di ruang ventilasi.
Hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek dihantar ke pelantar berkenaan menggunakan sebuah bot, namun bot tersebut melarikan diri sebaik melihat kehadiran penguat kuasa.
"Kita tahu platform tidak berpenghuni ini adalah untuk membantu produksi.
"Apabila mereka curi barang seperti panel solar, bateri dan kabel yang jadi kuasa untuk menjana sistem, maka ia akan menghentikan produksi.
"Kita percaya ini bukan kes pertama dilakukan kumpulan ini dan tidak menolak kemungkinan mereka ada kaitan dengan tiga lagi kes yang dilaporkan iaitu dua kes pada 23 Jan dan satu kes pada 7 Februari lepas.
"Tiga kes sebelum ini tiada tangkapan dibuat tapi Alhamdulillah, yang keempat ini kita berjaya,” katanya.
Beliau memberitahu pemberita dalam sidang medianya di Pejabat Maritim Kuala Terengganu.
Kes disiasat mengikut seksyen 378 Kanun Keseksaan.