JELI, 21 Februari- Polis menahan seorang lelaki dan merampas 2.79 tan daun ketum dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Batu 13 Jalan Raya Timur Barat, Batu Melintang di sini yang juga merupakan rampasan terbesar di Kelantan tahun ini.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintenden Saari Yaacob berkata, lelaki berusia 20-an itu ditahan bersama sebuah lori pada pukul 6.15 petang semalam oleh pasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli.
"Pemeriksaan dilakukan dan merampas 279 bungkusan plastik berwarna hitam. di dalam plastik itu mengandungi daun-daun berwarna hijau yang disyaki daun ketum.
"Anggaran berat kira-kira 2,790 kilogram (kg) ataupun 2.79 tan. Nilai rampasan pula dianggarkan kira-kira RM111,600," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di IPD Jeli, di sini hari ini.
Menerusi siasatan awal, suspek yang tidak bekerja itu mendakwa dia mengambil upah sebanyak RM800 untuk membawa masuk daun ketum dari utara Malaysia untuk pasaran Pasir Puteh dan Machang.
Bagaimanapun suspek tidak mempunyai rekod lampau dan saringan air kencing adalah negatif.
Saari berkata, suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 jika disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 dan penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan aktiviti penyeludupan berkenaan boleh menyalurkan maklumat ke balai polis untuk membanteras kegiatan tersebut.