KLUANG, 21 Februari- Reman terhadap seorang pemandu kereta dikenali sebagai 'Along Kubur' yang melarikan diri dengan memandu kereta sejauh lima kilometer semasa dikejar polis di sini pada 14 Februari lalu dilanjutkan hingga 24 Februari ini.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 40 tahun itu dikeluarkan Majistret Mustaqim Sukarno.
Perintah reman tersebut dilanjutkan bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 44(2) dan Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 186 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Kluang Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Bahrin Mohd Noh berkata, tangkapan dibuat susulan suspek memandu kereta dalam keadaan mencurigakan dan gagal memberikan kerjasama ketika hendak diperiksa oleh pegawai polis cawangan peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang.
Beliau juga mengesahkan kejadian yang berlaku seperti tular di media sosial yang memaparkan aksi pihak polis mengejar suspek bermula dari Persimpangan Jalan Haji Manan hingga di kawasan lampu isyarat itu.
Polis turut berjaya membuat rampasan dadah jenis heroin di dalam kereta yang dipandu suspek, semasa tangkapan dilakukan.
Saringan ujian air kencing menunjukkan suspek positif syabu dan mendapati, suspek mempunyai 15 rekod jenayah serta narkotik.