KLUANG, 21 Februari- Seorang pekerja katering yang dikenali sebagai Man Tiger mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan cubaan membunuh dengan melepaskan tembakan terhadap sepasang suami isteri di Machap, Simpang Renggam pada 10 Februari lalu.
Tertuduh, Abdurrahman Abdullah, 33 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Mujib Saroji.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh bersama-sama dua lagi rakan sejenayah yang masih bebas, telah melepaskan tembakan terhadap Dian Yulandi Suboh, 37 tahun yang boleh menyebabkan kematian mangsa.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Bukit Batu, Machap kira-kira 12.17 tengah hari pada 10 Februari lalu.
Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan sama terhadap Ahmad Fadhullah Mohamed, 38 tahun di lokasi, masa dan tarikh sama.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM) Inspektor Suniza Nan Yan manakala tertuduh diwakili peguam Kent Tan Chow Teng.
Mahkamah menetapkan 20 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen dan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.