SHAH ALAM, 20 Februari – Penjenayah dikenali sebagai "Ah Boy", yang ditembak mati di Pulau Ketam dua hari lalu, dipercayai berada di bawah pengaruh dadah ketika melakukan jenayah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata hasil bedah siasat mendapati suspek positif dadah jenis syabu dan turut terlibat dalam pengedaran serta penyalahgunaan bahan terlarang itu.
“Penggunaan dadah memberi kesan yang mendalam sehingga menyebabkan suspek bertindak agresif dan memiliki senjata secara haram. Dia juga boleh melepaskan tembakan pada bila-bila masa tanpa berfikir panjang,” katanya pada sidang media di sini.
Pada pagi Selasa lepas, suspek berusia lingkungan 30-an itu mati dalam kejadian berbalas tembak dengan polis di sebuah bilik hotel di Pulau Ketam, Klang.
Suspek telah diburu selama 10 hari selepas melepaskan tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam pada 8 Februari lalu.
Dalam pada itu, Hussein turut memberi jaminan kepada masyarakat bahawa tidak akan berlaku sebarang tindak balas daripada kumpulan jenayah lain kerana suspek bergerak sendirian dalam melakukan jenayahnya.