SUNGAI PETANI, 27 Oktober – Sebanyak 1,017 kenderaan dikesan melakukan kesalahan membawa barangan melebihi muatan dalam Operasi Perang Lebih Muatan yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara sejak 14 Oktober lalu hingga semalam.
Dalam tempoh itu, sebanyak 96 lori turut disita bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) atas kesalahan sama.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, sepanjang 13 hari operasi tersebut dijalankan, sebanyak 27,300 lori telah diperiksa di seluruh negara.
Beliau berkata, seramai 1,696 pemandu dan pemilik kenderaan dikenakan tindakan saman melibatkan 1,284 saman bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, 82 saman bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD) serta 330 saman bawah Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (ALPKP),
Kebanyakan lori yang dikenakan tindakan membawa lebih muatan seperti batu dan kayu getah.
“JPJ menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pemandu, pemilik kenderaan atau syarikat pengangkutan yang gagal mematuhi peraturan dan had muatan ditetapkan.
“Op Perang Lebih Muatan ini merupakan sebahagian daripada strategi berterusan JPJ dalam memperkukuh integriti dan keselamatan sistem pengangkutan jalan raya negara,” katanya kepada pemberita selepas menyertai Operasi Gempur di Plaza Tol Sungai Petani Utara, Kedah, malam tadi.
Menurut beliau, JPJ komited mempergiat aktiviti penguatkuasaan, pemantauan dan pendidikan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta infrastruktur awam terpelihara selain meningkatkan tahap pematuhan undang-undang dalam industri pengangkutan.
Operasi Perang Lebih Muatan dilaksanakan di seluruh negara mulai 14 Oktober hingga 31 Disember ini sebagai pendekatan menyeluruh bagi membanteras isu kenderaan perdagangan yang membawa muatan melebihi had dibenarkan.