KUBANG PASU, 27 Oktober - 100 kes rogol melibatkan remaja bawah umur dilaporkan di Kedah bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Adzli Abu Shah memberitahu 91 peratus daripadanya berlaku atas dasar suka sama suka.
Beliau menyifatkan situasi itu amat membimbangkan dan menyeru semua pihak termasuk ibu bapa memainkan peranan aktif dalam menangani gejala itu daripada terus berleluasa.
"Apabila suka sama suka, ini bagi saya adalah masalah sosial dan saya tegaskan kita (polis) tidak akan berhenti. Kita juga berkolaborasi dengan Jabatan Pendidikan Kedah dalam pelbagai aspek untuk menangani perkara ini.
"Pelbagai langkah telah dilakukan termasuk masuk ke asrama dan tunggu di depan sekolah. Namun, masyarakat dan ibu bapa perlu memainkan peranan terutama mengambil tahu keberadaan anak-anak (remaja bawah umur) ini," katanya.
Tambah beliau, pihaknya telah mengenal pasti 30 buah sekolah rendah dan menengah yang perlu diberi perhatian.
"Polis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan juga telah mengambil beberapa langkah drastik bagi menangani isu tersebut serta isu lain seperti buli dan pergaduhan.
"Antaranya, menghantar anggota polis beruniform termasuk Unit Kereta Peronda dan Unit Rondaan Bermotosikal untuk melakukan pemantauan dan pemeriksaan mengejut di sekolah-sekolah," jelasnya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kenderaan Lucut Hak bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 di Sekolah Menengah Kebangsaan Hosba, di sini.