fb fb fb fb fb

Sindiket penipuan warga asing tumpas, 46 individu ditahan

Timbalan Ketua Pengarah Operasi JIM, Jafri Embok Taha (dua, kanan) menunjukan wang tunai yang dirampas semasa sidang media mengenai Operasi Khas berkaitan sindiket penipuan dalam talian yang dijalankan oleh warga asing di Putrajaya / Foto Bernama

PUTRAJAYA, 20 Februari – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya membongkar sindiket penipuan yang dikendalikan oleh warga China selepas serbuan ke atas 17 rumah mewah di Kuchai Lama, Kuala Lumpur, semalam.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi JIM, Jafri Embok Taha berkata sindiket itu yang beroperasi sejak tiga bulan lalu menipu mangsa dengan tawaran jualan saham, barangan, dan hartanah yang tidak wujud.

Menurutnya, sindiket itu bukan sahaja menyasarkan mangsa tempatan tetapi juga pelanggan luar negara, menggunakan aplikasi media sosial untuk beroperasi.

“Mangsa akan diminta memindahkan wang ke dalam akaun yang diberikan melalui pautan tertentu. Mereka hanya akan menyedari telah ditipu apabila sindiket tersebut gagal dihubungi selepas transaksi dilakukan.

"Akaun yang digunakan pula dipercayai milik warga tempatan sebagai ‘keldai akaun’,” katanya pada sidang media mengenai Operasi Khas berkaitan sindiket penipuan dalam talian, di sini.

Selain itu, sindiket tersebut turut menawarkan perkhidmatan judi dalam talian dan penipuan "Love Scam", selain mengiklankan tawaran menggunakan nombor telefon mangsa yang diperoleh secara rawak.

Keuntungan yang diperoleh dianggarkan antara RM100,000 hingga RM150,000 sehari.

Dalam serbuan tersebut, seramai 46 warga asing dari China, Myanmar, Bangladesh, Laos, dan Thailand berusia antara 23 hingga 54 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN