PUCHONG, 20 Februari – Kegiatan penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) menggunakan taktik baharu terbongkar selepas sebuah premis di sini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, semalam.
Pengarahnya, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata sindiket berkenaan menggunakan tiga lori sebagai lokasi pemindahan LPG daripada tong 14 kilogram bersubsidi ke tong 50 kilogram tidak bersubsidi sebelum diedarkan di sekitar Lembah Klang.
“Taktik ini agak sukar dikesan kerana mereka menjalankan aktiviti ‘decanting’ di dalam lori, malah sanggup berada dalam keadaan gelap selama berjam-jam semata-mata untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di sini.
Serbuan yang dilakukan pada pukul 11 malam itu melibatkan 25 anggota penguat kuasa KPDN Selangor dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor selepas risikan selama sebulan.
Seramai 21 individu termasuk pemilik premis berusia 50-an ditahan bagi membantu siasatan.
Dalam operasi tersebut, sebanyak 4,000 tong LPG pelbagai jenama bersaiz 14 kilogram dan 50 kilogram serta 17 lori disita dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1.6 juta.
Kertas siasatan dibuka mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu serta syarikat yang terlibat dalam kegiatan tersebut selain meneliti rantaian pengedaran LPG yang terjejas.