KUALA TERENGGANU, 20 Februari-Seorang pesara berputih mata selepas wang simpanan dan pinjaman peribadinya sebanyak RM108,000 lesap ditipu sindiket phone scam.
Pada 10 Januari lalu, mangsa iaitu seorang wanita berusia 61 tahun telah dihubungi suspek yang memperkenalkan diri sebagai wakil insurans.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata, suspek mendakwa kononnya nama mangsa telah disalah guna oleh individu tidak bertanggungjawab bagi urusan tuntutan insurans sebanyak RM63,000
Panggilan mangsa kemudiannya disambungkan kepada anggota sindiket lain yang menyamar sebagai polis sebelum diarah membuka akaun di sebuah bank tempatan dan memindahkan wang sebanyak RM45,000 daripada akaun Tabung Haji miliknya ke akaun baharu tersebut.
Selain wang simpanan, mangsa yang berasal dari Bukit Payong, Marang juga telah membuat pinjaman peribadi sebanyak RM50,000 dan memindahkannya ke dalam akaun yang baru dibuka.
Mangsa turut membuat tiga lagi transaksi berjumlah RM13,000 ke dua akaun berbeza untuk membersihkan namanya.
Bagaimanapun mangsa yang menyedari ditipu telah membuat laporan polis petang semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.