BATU PAHAT, 20 Februari- Polis berjaya menyelesaikan kes kecurian lori tangki dalam tempoh kira–kira sejam, di sini Selasa lalu, selepas menangkap seorang lelaki berumur 41 tahun, di Sungai Rambai, Jasin, Melaka .
Ketua Polis Daerah Batu Pahat Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, pemandu lori tersebut menyedari kenderaan itu hilang pada pukul 9.45 pagi, sebelum membuat laporan polis pada pukul 10.34 pagi.
"Pada pukul 10:50 pagi, unit Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Batu Pahat, berjaya mengesan lori tersebut, sebelum berjaya menangkap suspek.
"Semakan mendapati, suspek mempunyai 13 rekod bersabit dadah dan jenayah, selain positif syabu," kata Shahrulanuar Mushaddat.
Lelaki tersebut direman hingga 21 Februari, untuk disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan, selain Akta Dadah Berbahaya 1952.