fb fb fb fb fb

Kes pukul OKU: Polis Terengganu turut syor dakwa enam suspek merusuh

Mohd Khairi Khairuddin/RTM

KEMAMAN, 19 Februari- Polis Terengganu mencadangkan enam suspek kes pukul seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) kategori ketidakupayaan mental didakwa di mahkamah atas kesalahan merusuh serta mendatangkan kecederaan.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata kertas siasatan telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara pada 5 Februari lalu untuk arahan lanjut.

"Kertas siasatan yang telah lengkap telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara di Putrajaya bagi mendapatkan arahan selanjutnya, sama ada keenam-enam orang kena tuduh (OKT) akan didakwa bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mencederakan mangsa," katanya.

Sementara itu, Khairi berkata pihaknya juga telah merujuk kertas siasatan terhadap seorang pempengaruh media sosial yang ditahan berhubung kenyataan berbaur ugutan dan penyebaran kandungan jelek berkaitan kes terbabit.

Kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Terengganu sejak dua minggu lalu.

Menurutnya, siasatan kes berkenaan telah lengkap termasuk laporan yang diperoleh daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkaitan akaun TikTok milik suspek.

"Kita masih menunggu keputusan lanjut, namun pihak polis telah mencadangkan suspek dituduh bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan ugutan jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Kemaman di di sini hari ini.

Pada majlis itu, Penguasa Polis (SP) Mohd Razi Rosli secara rasmi dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kemaman menggantikan Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Hanyan Ramlan yang dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi pada 17 Januari lalu, mangsa, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, mengalami kecederaan selepas dipukul beberapa individu di pasar pagi berhampiran Padang Astaka, di sini.

Insiden berlaku selepas motosikal yang ditunggang mangsa dikatakan terlanggar salah sebuah gerai jualan di lokasi berkenaan.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA