KUALA TERENGGANU, 21 Januari- Anak kepada lelaki orang kurang upaya (OKU), Ahmad Nor Al Faizan Jusoh yang menjadi mangsa pukul di Kemaman baru-baru ini memohon agar orang ramai tidak menyebarkan gambar dan video insiden tersebut yang tular di media sosial.
Nurul Farhana Ahmad Nor Al Faizan berkata tindakan menyebarkan video dan gambar tersebut hanya akan memberi kesan negatif kepada kesihatan mental bapanya yang kini sedang menerima rawatan di Wad Psikiatrik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
"Kami tidak mahu ayah tertekan dan sedih apabila melihat gambar atau video tersebut. Kami sekeluarga sendiri pun tidak mampu menyaksikan video itu," kata Nurul Farhana.
Dalam kejadian pada Jumaat lalu, Ahmad Nor Al Faizan, 47, cedera dipukul dan disepak oleh beberapa individu selepas motosikal yang ditungganginya terlanggar gerai jualan di Kemaman. Insiden itu tular di media sosial dan mengundang simpati ramai.
Sementara itu Pengerusi AMANAH Terengganu Senator Mohd Hasbie Muda menyatakan pihaknya akan membantu mangsa mendaftar dalam program i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mendapatkan sumbangan sebanyak RM500 setahun untuk Ahmad Nor Al Faizan.
"Selain memberikan sedikit sumbangan, kami akan membantu beliau mendaftar i-Saraan KWSP supaya layak menerima sumbangan sebanyak RM500 setahun, selain menyertai skim bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk golongan bekerja sendiri," ujar beliau.
Mohd Hasbie berkata, mangsa merupakan penerima elaun pekerja OKU sebanyak RM450 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Mohd Hasbie (tengah) menyantuni dan menghulurkan sumbangan kepada isteri mangsa Faridah Abdul Karim, 44, dan anak-anaknya di pekarangan Wad Psikiatri HSNZ, Kuala Terengganu hari ini/RTM
BERITA BERKAITAN