
KUALA LUMPUR, 1 April – Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4 peratus hingga 5 peratus pada 2026, menunjukkan daya tahan ekonomi negara meskipun berdepan ketidaktentuan global seperti konflik Asia Barat dan tekanan harga tenaga.
- Asas ekonomi kukuh disokong permintaan domestik, sektor perbankan berdaya tahan dan dasar fiskal stabil.
- Langkah fiskal seperti cukai baru, peningkatan SST, e-invois dan rasionalisasi subsidi mengekalkan keyakinan pelabur, peniaga serta kepastian isi rumah.
- Penilaian bank pelaburan antarabangsa mengesahkan Malaysia berada dalam kedudukan selesa menghadapi ketidaktentuan, menyokong kestabilan pasaran.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pertumbuhan tersebut disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, kedudukan Malaysia sebagai pengeksport bersih tenaga, serta asas ekonomi yang mantap termasuk sektor perbankan yang berdaya tahan dan dasar fiskal yang stabil.
“Perkara ini jelas menunjukkan Malaysia masih berada dalam kedudukan baik menghadapi kejutan ekonomi global. Sebagai pengeksport bersih minyak dan gas, bekalan bahan api negara sepatutnya mencukupi untuk tempoh kira-kira dua bulan, selain mempunyai kapasiti mendapatkan sumber tambahan apabila diperlukan,” katanya kepada RTM.
Beliau menambah, asas ekonomi yang kukuh dan langkah fiskal kerajaan, termasuk pelaksanaan cukai baharu, peningkatan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), e-invois serta rasionalisasi subsidi bahan api, membantu mengekalkan keyakinan pelabur dan peniaga, serta memberi kepastian kepada isi rumah dalam merancang kewangan mereka.
“Penilaian oleh bank pelaburan antarabangsa seperti JP Morgan menunjukkan Malaysia berada dalam kedudukan selesa menghadapi ketidaktentuan harga tenaga global. Faktor ini dijangka terus menyokong kestabilan pasaran dan pertumbuhan berdaya tahan ekonomi domestik,” tambahnya.