fb fb fb fb fb

PM mahu insiden pukul OKU tidak berulang

FOTO FACEBOOK Anwar Ibrahim

KUALA TERENGGANU, 21 Januari- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap insiden memukul seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) kategori mental yang menyebabkan kecederaan di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, Kemaman, baru-baru ini tidak akan berulang lagi.

Perkara itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin selepas melawat mangsa, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, di Jabatan Psikiatrik dan Kesihatan Mental, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.

"(Bagaimanapun) insiden ini tidak mencerminkan masyarakat Terengganu secara keseluruhannya. Ini hanya melibatkan segelintir individu yang tidak mempunyai kesabaran dan mengambil tindakan sendiri.

"Kita lihat komen daripada netizen seolah-olah menggambarkan seluruh masyarakat Terengganu seperti itu, padahal sebenarnya ia tidak mencerminkan sifat orang Terengganu," katanya.

Azman juga memaklumkan bahawa keadaan Ahmad Nor Al Faizan ketika ini adalah stabil dan dia dijangka akan dibenarkan pulang esok.

Terdahulu lelaki OKU mental itu cedera selepas motosikal ditungganginya terlanggar sebuah gerai jualan di Pasar Tani Padang Astaka hingga menyebabkan makanan dijual terjatuh dan tumpah.

Tindak balas beberapa individu yang memukul mangsa kemudian tular di media sosial dan mendapat simpati ramai yang mengecam tindakan tersebut sebagai tidak berperikemanusiaan.

2101 KT PMX OKU 2
Azman (kiri) menyantuni isteri mangsa Faridah Abdul Karim, 44, dan anak-anaknya di pekarangan Wad Psikiatri HSNZ, Kuala Terengganu hari ini/RTM

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA