
KUALA LUMPUR, 2 April – Program Madani Rakyat (PMR) 2026 membuka tirainya di Perak dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan kerajaan, aktiviti interaktif dan pengisian menarik khusus buat penduduk setempat.
- 34 reruai kementerian, kerajaan negeri dan agensi luar sediakan maklumat terus kepada rakyat.
- 50 slot libat urus dan 240 titik sentuhan disediakan untuk memastikan rakyat mendapat manfaat maksimum.
- PMR dijangka menarik sehingga 100,000 pengunjung, majlis perasmian disempurnakan Perdana Menteri pada 4 April.
Program yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 3 hingga 5 April itu akan bertempat di Bulatan Sultan Azlan Shah, Persiaran Meru, Perak.
Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) Kementerian Komunikasi, Mano Verabathran berkata, antara tarikan utama yang disediakan termasuklah karnival kerjaya, perkhidmatan penukaran minyak enjin kenderaan, perkhidmatan gunting rambut, serta program pertukaran topi keledar lama kepada yang baharu.
Beliau berkata, sebanyak 34 reruai melibatkan kementerian, kerajaan negeri dan agensi luar akan dibuka bagi memberi peluang kepada rakyat untuk mendapatkan maklumat secara terus mengenai dasar dan bantuan kerajaan.
“PMR secara amnya bertujuan mendekatkan rakyat dengan perkhidmatan kerajaan.
“Selain perkhidmatan fizikal, rakyat juga berpeluang memahami dasar perancangan serta kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan MADANI. Inilah matlamat yang kita bawa sejak 2025 dan diteruskan bagi tahun 2026,” katanya selepas menjadi tetamu di Program Selamat Pagi Malaysia (SPM)
Mano menjelaskan, terdapat 50 slot libat urus daripada pegawai khas serta 240 titik sentuhan (touch points) disediakan sepanjang program berlangsung bagi memastikan rakyat mendapat manfaat maksimum.
Mengulas mengenai kejayaan siri jelajah sebelum ini, beliau berkata PMR telah berjaya dilaksanakan di lapan buah negeri pada tahun 2025 dan untuk edisi di Perak kali ini, jumlah kunjungan dijangka mencecah sehingga 100,000 orang.
Majlis perasmian PMR 2026 dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu, 4 April, dengan kehadiran jemaah menteri serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.