Rakyat diseru beri kepercayaan penuh kepada kerajaan tangani kos sara hidup

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli / BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 2 April -Rakyat diseru agar memberi kepercayaan penuh kepada kerajaan dalam usaha mendepani cabaran peningkatan kos sara hidup yang sedang melanda negara ketika ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kekal tenang dan beri ruang kepada kerajaan melaksanakan dasar serta intervensi yang dirangka melalui rundingan dan pertimbangan teliti.
  • Syukur, jangan bandingkan dengan negara lain; percaya kerajaan berusaha melakukan yang terbaik untuk rakyat.
  • Jadilah ejen damai untuk memelihara keharmonian dan kestabilan negara dalam menghadapi tekanan ekonomi global.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli berkata, meskipun situasi krisis ekonomi bukan sesuatu yang baharu, masyarakat perlu yakin bahawa setiap permasalahan yang timbul pasti mempunyai penyelesaiannya yang tersendiri.

Beliau menasihatkan orang ramai agar kekal tenang dan memberi ruang secukupnya kepada kerajaan untuk melaksanakan dasar serta langkah intervensi terbaik yang telah dirangka melalui proses rundingan dan pertimbangan teliti.

“Apa yang kita boleh lakukan sekarang ialah bersyukur terlebih dahulu. Ramai yang membandingkan keadaan kita dengan negara lain atau pemimpin luar, namun mengapa tidak sekarang ini kita berikan kepercayaan sepenuhnya kepada kerajaan.

“Yakinlah, kerajaan sentiasa melakukan yang terbaik. Kita sebagai pemimpin dalam keluarga juga perlu buat yang terbaik untuk ahli keluarga masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu di konti Terengganufm, di sini hari ini.

Marhamah turut menekankan kepentingan masyarakat untuk menjadi ‘ejen damai’ bagi memastikan keharmonian dan kestabilan dalam negara terus terpelihara di sebalik tekanan ekonomi global.

Menurutnya, setiap keputusan yang diambil oleh barisan kepimpinan negara telah melalui proses timbang tara yang menyeluruh demi kepentingan rakyat jelata.

“Semoga kita semua dapat memainkan peranan untuk mewujudkan suasana yang damai dan tenang dalam mendepani tempoh mencabar ini,” tambahnya.