
MELAKA, 2 April – Kerajaan Negeri Melaka bercadang untuk menambah bilangan menara telekomunikasi di negeri itu, khususnya di kawasan luar bandar, bagi memastikan rakyat mendapat liputan talian dan capaian internet yang lebih stabil.
- Cadangan penambahan menara bergantung kepada peruntukan Kementerian Komunikasi dan kelulusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
- Pemilihan lokasi menara baharu dibuat berdasarkan data aduan liputan rendah daripada penduduk setempat.
- UniKL melaporkan 3,000 pelajar menghadapi masalah komunikasi. MCMC turun tapak dan cadangkan tapak komersial di luar program Jendela.
- Kerjasama berterusan dengan syarikat telekomunikasi meningkatkan capaian jalur lebar; tiada aduan liputan di DUN Asahan setakat tahun ini.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, cadangan penambahan itu bagaimanapun bergantung kepada peruntukan daripada Kementerian Komunikasi serta kelulusan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Beliau menjelaskan bahawa pemilihan lokasi bagi pembinaan menara baharu itu juga dibuat berdasarkan data aduan liputan rendah yang diterima daripada penduduk di sesuatu kawasan.
“Sasaran kita bergantung kepada bajet dan kelulusan daripada MCMC.
“Selain itu, ia juga berkait rapat dengan aduan yang diterima. Sebagai contoh, kami baru sahaja menerima aduan daripada UniKL (Universiti Kuala Lumpur) yang menyatakan seramai 3,000 pelajar di sana mengalami masalah komunikasi.
“Pihak MCMC telah pun turun ke tapak tersebut dan kami akan mencadangkan satu tapak di sana secara komersial, di luar program Jendela (Jalinan Digital Negara),” katanya ketika bersiaran dalam program Wakil Rakyat Untuk Rakyat Jamuan Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat DUN Asahan dan Perasmian Program WRUR Alor Gajah : kampung Kita di sini.
Dalam pada itu, Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan berkata, usaha berterusan bersama syarikat telekomunikasi bagi meningkatkan capaian jalur lebar di kawasan luar bandar telah membuahkan hasil positif.
Menurutnya, setakat tahun ini, pihaknya tidak lagi menerima sebarang aduan mengenai masalah liputan di kawasan DUN Asahan, sekali gus menunjukkan keberkesanan inisiatif yang telah dijalankan sebelum ini.