AI bakal urus mesyuarat semua kementerian

Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Fabian Bigar / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 9 November – Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan mesyuarat bakal diperluas ke semua kementerian susulan pelaksanaan projek rintis Agenda AI di lima kementerian ketika ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • AI tingkatkan kecekapan pengurusan mesyuarat: penyediaan memo, jemputan, rakaman dan minit, sekaligus mengurangkan beban tugas penjawat awam.
  • Kementerian digalakkan berkongsi inisiatif AI dan kemudahan sedia ada untuk elak pembangunan baharu serta kurangkan kos.
  • Akses AI melalui MyGovUC kepada 445,000 penjawat awam; latihan dipertingkatkan dan program Rakyat Digital serta langganan Coursera untuk 100,000 pengguna.

Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Fabian Bigar berkata, inisiatif itu bertujuan meningkatkan kecekapan pengurusan mesyuarat, merangkumi penyediaan dan penghantaran memo, jemputan mesyuarat, rakaman serta penyediaan minit mesyuarat.

Menurutnya, penggunaan teknologi itu bukan sahaja dapat memudahkan urusan pentadbiran, malah mengurangkan beban tugas penjawat awam.

“Di peringkat kementerian masing-masing juga ada pasukan yang mengadaptasi AI dalam setiap aspek perkhidmatan mereka.

“Kami turut menggalakkan mereka berkongsi dengan agensi atau kementerian lain mengenai inisiatif yang dilaksanakan supaya tidak perlu membangunkan sistem dari awal, sebaliknya boleh menggunakan dan berkongsi kemudahan sedia ada, sekali gus mengurangkan kos,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Berita RTM di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, sekurang-kurangnya 445,000 penjawat awam mempunyai akses kepada kemudahan AI menerusi perkhidmatan e-mel berpusat kerajaan, MyGovUC.

Latihan berkaitan AI turut dipergiatkan dalam kalangan penjawat awam, termasuk kumpulan pengurusan tertinggi, bagi memastikan teknologi berkenaan dimanfaatkan secara berhemah dan bertanggungjawab.

Sementara itu, usaha memperluas literasi AI dalam kalangan rakyat diteruskan menerusi program Rakyat Digital yang menawarkan modul latihan percuma berkaitan AI, keselamatan siber dan teknologi digital lain.

Kerajaan turut menawarkan akses langganan kursus Coursera selama tiga bulan kepada 100,000 pengguna, merangkumi katalog 16,000 kursus bagi meningkatkan kemahiran digital rakyat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.