fb fb fb fb fb

Seorang lagi suspek kes pukul OKU ditahan

Dua suspek (dua dan tiga dari kanan) direman bagi membantu siasatan kes memukul OKU mental di Mahkamah Majistret Kemaman hari ini/RTM

KEMAMAN, 21 Januari- Seorang lagi suspek dipercayai terlibat memukul seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) mental di Pasar Tani Padang Astaka Chukai di sini dalam kejadian Jumaat lalu, ditahan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Wan Muhamad Wan Ja'afar berkata perintah reman selama tiga hari terhadap lelaki berusia 35 tahun itu dibenarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Wan Muhamad berkata lelaki itu ditahan pada 1.50 tengah hari semalam selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Penahanan suspek terbaharu itu menjadikan jumlah suspek yang ditahan kepada enam orang berusia antara 18 hingga 60 tahun.

Wan Muhamad berkata pihaknya kini sedang melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan selanjutnya dan meminta orang awam tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan.

Di mahkamah sama, Majistret turut membenarkan reman terhadap suspek keempat berusia 32 tahun disambung selama dua hari lagi.

SITI AISHAH MD ISA