MPL Malaysia musim 17 lancar kerjasama strategik, sasar hab E-Sukan Global 2030

Warga MPL MY – Foto Moonton Games

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MPL) Malaysia secara rasminya memulakan saingan Musim ke-17 dengan pelancaran visi strategik “MLBB Esports Malaysia 2026: MY Time, MY Era” yang bertujuan memperkukuh ekosistem e-sukan negara di persada Asia Tenggara.

RINGKASAN BERITA AI
  • MOONTON Games jalin kerjasama strategik dengan agensi kerajaan dan peneraju industri untuk memperkukuh ekosistem e-sukan negara.
  • Kerajaan sasar Malaysia sebagai hab e-sukan global menjelang 2030 melalui Program Pemacu E-sukan Malaysia dan Dana Esukan KBS.
  • MoU antara Persekutuan E-sukan Malaysia dan Persatuan E-sukan Singapura benarkan pasukan Singapura bersaing di liga Malaysia.
  • Program perkongsian rasmi lapan pasukan jamin kestabilan ekosistem profesional dan kebajikan pemain.

Majlis pelancaran di Quill City Mall menyaksikan komitmen padu syarikat pembangun permainan video global, MOONTON Games, dalam menjalinkan kerjasama dengan badan kerajaan dan peneraju industri.

Selaras dengan aspirasi itu, Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari, menegaskan sasaran Malaysia untuk muncul sebagai hab e-sukan utama dunia menjelang tahun 2030 menerusi pemerkasaan Program Pemacu E-sukan Malaysia (MEAP) dan Dana Esukan KBS (DEK) 2026.

Edisi kali ini turut melakar sejarah menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Persekutuan E-sukan Malaysia (MESF) dan Persatuan E-sukan Singapura (SGEA).

Kerjasama dwinegara ini bakal membuka ruang buat pemain profesional dari Singapura, termasuk pasukan Team Flash, untuk bersaing dalam liga Malaysia melalui inisiatif Pasukan Ekspansi.

Langkah ini dilihat sebagai usaha proaktif dalam meningkatkan standard kompetitif serta menyediakan peluang kerjaya yang lebih dinamik.

Selain itu, program perkongsian rasmi yang melibatkan lapan pasukan utama telah diperkenalkan bagi menjamin kestabilan ekosistem profesional dan kebajikan pemain.

Ketua Pembangunan Perniagaan E-sukan Malaysia MOONTON Games, Krystal Tan, menyatakan visi kementerian dan penganjur adalah untuk mengangkat e-sukan sebagai sebahagian daripada budaya nasional yang mampu melahirkan ikon sukan bertaraf dunia.

Saingan Musim ke-17 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Quill City Mall sebagai arena rasmi sepanjang lapan minggu musim liga.