
KUALA LUMPUR, 13 Mac – Langkah penjimatan drastik dalam perbelanjaan negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mencerminkan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam memastikan setiap sumber negara diuruskan secara berhemah demi kesejahteraan rakyat.
- Kerajaan umum langkah penjimatan drastik untuk memastikan pengurusan dana negara fokus kepada kebajikan rakyat.
- Semua agensi, GLC dan GLIC dilarang menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri tahun ini sebagai langkah berbelanja sederhana.
- Lawatan rasmi ke luar negara dan kunjungan menteri serta anggota pentadbiran awam dihadkan sementara bagi menjimatkan perbelanjaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, menegaskan arahan bertepatan bagi memastikan dana negara sentiasa mencukupi untuk disalurkan kepada keperluan rakyat yang lebih mendesak.
Beliau menyambut baik inisiatif tersebut dan memberikan jaminan bahawa agensi di bawah seliaannya akan mematuhi garis panduan penjimatan yang telah ditetapkan.
“Langkah penjimatan ini sangat wajar bagi memastikan dana yang kita miliki sentiasa diutamakan untuk kebajikan rakyat,” jelas beliau selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri anjuran Ehsan Group of Companies bersama Yayasan Wilayah Persekutuan.
Dalam majlis tersebut, seramai 200 penerima yang terdiri daripada anak yatim, ibu tunggal, dan pelajar tahfiz telah disantuni dengan sumbangan raya.
Terdahulu, Perdana Menteri memutuskan bahawa semua agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dilarang menganjurkan sebarang majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bagi tahun ini.
Keputusan tersebut diambil sebagai mesej jelas mengenai keperluan berbelanja secara sederhana, khususnya dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik yang masih berlarutan di Asia Barat.
Selain sekatan penganjuran majlis perayaan, kerajaan turut mengehadkan lawatan rasmi atau kunjungan ke luar negara oleh para menteri serta anggota pentadbiran awam buat sementara waktu.