fb fb fb fb fb

Tiga ditahan kes pukul OKU di Kemaman

Tangkap layar video tular seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) dipukul di sebuah tapak tani di bandar Chukai, Kemaman

KEMAMAN, 18 Januari – Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes memukul seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) dengan ketidakupayaan mental di sebuah tapak tani di bandar Chukai, pada Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Wan Muhamad Wan Jaafar berkata ketiga-tiga suspek berusia antara 18 hingga 60 tahun ditahan ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, pada pukul 8 malam tadi.

Penahanan itu dibuat selepas video insiden berkenaan tular di media sosial.

“Polis sedang mengumpul maklumat daripada ketiga-tiga individu tersebut untuk melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya ketika dihubungi RTM.

Dalam kejadian tersebut, mangsa dilaporkan dipukul oleh beberapa individu selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar sebuah gerai dan menyebabkan kerosakan pada peralatan peniaga di tapak jualan tersebut.

Insiden itu mencetuskan pertengkaran yang berakhir dengan mangsa dipukul sehingga mengalami kecederaan di bahagian muka dan anggota badan.

Pihak polis yang tiba di lokasi tidak lama kemudian berjaya mengawal keadaan.

Mangsa telah dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman untuk mendapatkan rawatan.

Kes masih dalam siasatan, dan polis meminta kerjasama orang ramai untuk tidak menyebarkan spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN