fb fb fb fb fb

Lelaki OKU cedera dibelasah, polis kesan individu terlibat

Foto hiasan

KEMAMAN, 17 Januari- Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) cedera di bahagian muka dan badan selepas dibelasah beberapa individu dalam satu kejadian di sebuah pasar tani di Bandar Chukai di sini kira-kira pukul 10.00 pagi tadi.

Sebelum kejadian, mangsa yang merupakan OKU masalah mental dikatakan menunggang motosikal secara berbahaya ketika orang ramai sedang sibuk melalui kawasan berkenaan untuk membeli di pasar tani berkenaan.

Selepas itu, motosikal ditunggang mangsa dikatakan hilang kawalan lalu merempuh sebuah gerai menjual makanan menyebabkan berlaku kerosakan pada peralatan dan makanan.

Keadaan menjadi kecoh selepas berlaku pertikaman lidah antara mangsa dengan peniaga terbabit sebelum dibelasah di hadapan gerai berkenaan.

Mangsa dilihat turut diseret di atas jalan raya dan disepak individu lain pada bahagian badan dan kepala mangsa.

Bagaimanapun pergaduhan itu dileraikan pihak polis yang tiba tidak lama kemudian dan membawa mangsa keluar dari tempat kejadian.

Sementara itu, pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Jaafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

"Keluarga mangsa telah tampil membuat laopran di Balai Polis Chukai tengah hari tadi.

"Pihak kami sedang mengesan individu yang dikatakan terbabit dalam kejadian itu dan kes akan disiasat bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam pada itu pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian berkenaan supaya menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman bagi membantu siasatan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI